Monday, 28 January 2013

Seekor Lagi Bujang Senang Diburu


Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) memburu seekor lagi buaya selepas berjaya menangkap Bujang Selang di Sungai Teruntum, Kampung Selang, Telaga Air, di sini, kelmarin.

Reptilia yang digelar Bujang Selang oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng itu kini ditempatkan di Pusat Hidupan Liar Matang, semalam.

Buaya tembaga jantan yang berukuran hampir lima meter dengan berat 620 kilogram itu dipercayai berusia lebih 80 tahun itu memasuki perangkap khas kira-kira jam 2.30 petang kelmarin dan dibawa ke tebing sungai sebelum dibawa menaiki lori ke Pusat Hidupan Liar, kira-kira lapan kilometer dari kawasan berkenaan.

Jurucakap SFC berkata, pihaknya kini menumpukan usaha memburu seekor lagi buaya dari spesies sama dipercayai berukuran dua kali ganda lebih besar daripada Bujang Selang.

Katanya, mengikut laporan daripada penduduk berhampiran dan siasatan yang dijalankan, ada seekor lagi buaya yang sering muncul di permukaan sungai itu sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai.

“Buaya yang dipercayai sering muncul di Sungai Teruntum itu mengalami sedikit kecederaan pada mulut ketika cuba melepaskan diri.

“Biarpun sebelum ini hanya ada satu aduan mengenai reptilia itu, kami tidak akan berdiam diri sebaliknya akan mengesan dan menangkapnya bagi mengelakkan ia terus mengganggu penduduk kampung,” katanya ketika ditemui, semalam.

Proses pemindahan Bujang Selang terpaksa menggunakan tenaga 10 lelaki dan mengambil masa hampir tiga jam kerana saiznya yang besar.

Semalam, Harian Metro melaporkan seekor buaya dianggarkan dengan berat kira-kira 600 kilogram selepas reptilia ganas itu membaham anjing pengawal rumah rehat Yang Dipertua Negeri di Telaga Air.

Buaya yang berjaya diperangkap itu adalah daripada spesies ‘crocodylus porosus’ atau buaya air masin yang terkenal sebagai paling ganas.

Sumber: Hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment

Fuh Fanas