Apex menyuap isterinya Leuniey selepas majlis akad nikad berakhir semalam
KOTA BHARU – Dalam kegembiraan menyambut menantu pertama, Nor Laila Abu Bakar, ibu Nur Eilunie Natasha Nazri, sempat mengamanatkan Khairul Fahmi Che Mat atau Apex supaya menjaga anaknya dengan baik.
“Saya harap perkahwinan ini kekal sehingga akhir hayat dan kepada Apek, jagalah Leuniey sebagaimana saya menjaganya selama 21 tahun dahulu,” katanya di sidang akhbar selepas majlis akad nikah di kediamannya di Pasir Pekan,Tumpat, semalam.
Nur Eilunie Natasha Nazri atau lebih dikenali sebagai Leuniey Natasha diijabkabulkan dengan penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dalam majlis di kediaman pihak perempuan di sini.
Menurut Laila, pesanan itu disampaikan kepada Apex setelah dengan rasminya menjadi suami dan memikul tanggungjawab untuk menjaga anaknya itu.
“Saya menarik nafas lega dengan majlis ini dan tanggungjawab saya kali ini telah beralih kepada Apex, harapan saya agar Apex dapat berikan yang terbaik kepada Leuniey sebagaimana seperti kami menjaganya sebelum ini,” katanya.
Beliau yang kelihatan sebak ketika majlis akad nikah itu berlangsung turut berkata, perkahwinan ini juga diharapkan dapat menutup segala kontroversi yang melanda pasangan tersebut sebelum ini.
Sementara itu, ibu Apex, Bidah Ibrahim berkata, beliau sangat gembira kerana kedua-dua pasangan kini telah diijabkabulkan dengan sempurna.
“Saya sangat gembira dengan majlis hari ini dan berharap Apex akan menjaga Leuniey sebaik mungkin dan ingat semua pesanan yang diberikan kedua-dua ibu bapa,” katanya.
Beliau turut berpesan kepada pasangan mempelai untuk sentiasa menjaga hubungan suami isteri itu sebaik mungkin dan sentiasa bekerjasama dan memahami antara satu sama lain.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment