Friday, 28 December 2012

Paksa adik abang ipar dagang tubuh

Gambar Hiasan

ALOR GAJAH: Seorang gadis mendakwa dipaksa menjadi pelacur oleh adik ipar kepada abangnya sendiri sejak awal bulan ini.

Mangsa yang berusia 17 tahun itu dipaksa melayan nafsu serakah beberapa lelaki pertengahan usia dengan dikenakan bayaran tertentu di beberapa lokasi termasuk sekitar hotel bajet di negeri ini.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama kakak ipar dan abangnya di sebuah rumah di Pulau Sebang dan datang ke rumah seorang saudaranya di Selangor awal bulan ini.

Menurut sumber, suspek yang turut tinggal bersama mangsa di Pulau Sebang menjemput gadis itu di Selangor beberapa hari kemudian dan membawanya pulang ke Melaka.

“Bagaimanapun, suspek tidak terus membawa gadis itu pulang ke rumah sebaliknya membawanya bersiar-siar di sekitar Bandaraya Melaka.

“Selepas bersiar-siar, suspek menyewa sebuah hotel bajet dan sebaik berada di hotel itu, mangsa diperkenalkan dengan seorang lelaki pertengahan usia,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, gadis itu kemudian dipaksa melayan nafsu lelaki terbabit dan dikenakan bayaran sebanyak RM200.

Katanya, mangsa yang mula menyedari niat sebenar suspek cuba melarikan diri dan merayu tidak diperlakukan sedemikian, namun tidak diendahkan.

“Gadis itu turut mendakwa dibawa ke beberapa daerah tidak dikenal pasti untuk diperdagangkan kepada pelanggan yang sedia menunggu di tempat dijanjikan.

“Malah, suspek dikatakan turut mengawasi setiap pergerakan gadis itu bagi mengelak dia melarikan diri,” katanya.

Sumber itu berkata, gadis malang itu yang tidak tahan diperlakukan sedemikian nekad melarikan diri daripada kawalan suspek sebelum membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dilakukan.

Menurutnya, kes dirujuk ke Jabatan Keganasan Rumahtangga, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk tindakan selanjutnya.

HMetro

No comments:

Post a Comment

Fuh Fanas