Wednesday, 20 February 2013

Aktres Jelita Park Si Yeon Dan Hyun Young Nafi Guna Dadah

Park Si Yeon

Pertengahan minggu lalu, aktres jelita Park Si Yeon dan Hyun Young berdepan dakwaan salah guna dadah jenis propofol. Dakwaan itu mendapat pelbagai reaksi negatif peminat dan media Korea Selatan.

Rabu lalu, agensi mewakili mereka mengeluarkan kenyataan rasmi menjawab dakwaan itu. Agensi EYAGI Entertainment yang mewakili Park berkata, ketika menjalani penggambaran filem Marine Boy dan Dachimawa Lee pada 2008, Park melakukan banyak babak aksi.

Katanya, dia cedera di belakang, terutama pinggang, dan dinasihatkan doktor supaya menjalani pembedahan tapi berjaya mengatasi kesakitan melalui ubat penahan sakit supaya dapat meneruskan penggambaran.

“Malangnya, sakit kembali menyerang dan Park terpaksa membatalkan kemunculannya sebagai tetamu program televisyen Family Outing pada 2009.

“Park akui takut berdepan kemungkinan lain dan menjejaskan imejnya sebagai aktres. Dia tidak memaklumkan pada media dan terus menjalani pembedahan belakang.

“Park terus menjalani rawatan dan semuanya di bawah pemantauan doktor.

“Kami tidak pasti dia menggunakan propofol sebagai sebahagian daripada rawatan atau tidak,” lapor agensi itu yang tidak menolak kemungkinan rawatan dilalui Park ialah menggunakan propofol pada sukatan dibenarkan.

Agensi mewakili Hyun Young pula berkata, sebagaimana ditulis dalam beberapa laporan media sebelum ini, ramai selebriti lain turut menjalani siasatan kerana penyalahgunaan propofol.


Hyun Young

“Kami ingin jelaskan di sini, siasatan termasuk pada doktor yang memberi bahan propofol melebihi takat dibenarkan atas tujuan keuntungan atau mungkin juga untuk tujuan penagihan.

“Sebagai selebriti wanita, kami percaya penampilan sangat penting tapi ada benarnya dia pernah pergi ke klinik beberapa kali untuk menjalani rawatan.

“Namun bila diimbas kembali, Hyun Young pernah hamil pada 2011 dan kerap ke klinik untuk pemeriksaan kandungan,” jelas agensi itu yang yakin Hyun Young bukan penagih propofol.

Ramai beranggapan Hyun Young terbabit dalam isu ini susulan pengakuan dia pernah menjalani pembedahan plastik.

-myMetro

No comments:

Post a Comment

Fuh Fanas